Followers

Tuesday, August 17, 2010

Bangkai Buaya Tembaga Seberat Hampir 1 Tan ditemui di Port Dickson

TELUK KEMANG 2 Ogos -
Memang benar ada buaya di Port Dickson! Buktinya adalah penemuan bangkai seekor buaya tembaga berukuran 5.48 meter dan ukur lilit 2.43 meter dengan berat lebih kurang satu tan di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson di sini hari ini. Penemuan itu menggemparkan penduduk sekitar yang sebelum ini hanya mendengar khabar angin mengenai kehadiran reptilia itu di pantai berkenaan sehingga bangkai haiwan itu ditemui terdampar berhampiran Kolej Uniti Pasir Panjang kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.

Kisah buaya di Port Dickson pernah menjadi topik hangat pada Januari lalu apabila seorang pemuda dari Melaka mendakwa kakinya digigit oleh reptilia itu sehingga cedera. Bagaimanapun, kisah itu dinafikan Jabatan Perikanan negeri serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) selain kerajaan negeri.Penduduk yang menemui bangkai buaya tembaga itu, Suhaimi Salim, 35, berkata, ketika itu dia memancing bersama-sama rakannya di lokasi berkenaan.


''Pada awalnya saya nampak satu objek seperti sebatang kayu besar dihanyutkan arus dan terapung di permukaan laut tetapi selepas dihampiri kami terkejut apabila objek itu adalah bangkai seekor buaya yang besar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia bersama beberapa rakan yang lain menarik bangkai buaya itu ke pantai selepas yakin reptilia berkenaan sudah tidak bernyawa lagi sebelum menghubungi anggota polis dan orang ramai untuk mengesahkan penemuan bangkai berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi kejadian bertukar menjadi 'pesta' apabila orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan bangkai haiwan itu dari dekat. Kata mereka, selama tinggal di Port Dickson dan berkunjung ke Tanjung Agas, ini adalah kali pertama reptilia sebesar itu ditemui oleh penduduk.

Bagi Mohd. Farez Mohd. Said, 19, dia percaya reptilia berkenaan datang dari kawasan paya bakau Sungai Linggi dan berada di laut untuk mencari ikan di pesisir pantai. ''Kami memang biasa memancing di situ dan penemuan bangkai buaya ini menakutkan kerana ia besar," katanya.

Bagi Azay Mohd. Safri, 30, pula, dia tidak menduga ada buaya 'tersesat' di laut dan ia boleh mengancam nyawa manusia lebih-lebih lagi pada waktu malam dan ketika reptilia berkenaan kelaparan.

''Tentulah kami terkejut kerana ada buaya di laut Port Dickson," ujarnya.

Dalam pada itu Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zafifi Ramli berkata, pihaknya akan menyiasat kewujudan bangkai buaya di Tanjung Agas itu dan punca kematian haiwan itu.

''Kita akan menjalankan kajian terhadap bangkai buaya itu dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka," ujarnya.



Saturday, May 1, 2010

Khalid Jamlus Perkuat Serangan T-Team

SETIU - T-Team melahirkan keyakinan pasukan berstatus kelab itu akan berada pada kedudukan selesa dalam Liga Super, seterusnya melangkah ke Piala Malaysia dengan penyertaan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus. 

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kehadiran Khalid sebagai penyerang berpengalaman, dijangka dapat menyelesaikan masalah penyudah tumpul skuad itu.

''Prestasi pasukan setakat ini turun naik. Apabila kami bertemu pasukan kuat, kami menghadapi kesukaran dalam mencari penyudah.

''Pasukan ini sememangnya sudah mantap namun dengan kehadiran Khalid, ia akan dapat menyelesaikan masalah di bahagian serangan," katanya ketika ditemui di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, pemain yang baru menamatkan kontrak dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dijangka memberi nafas baru kepada T-Team.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan hasrat untuk mengambil Khalid sebagai pemain T-Team dan kini menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Kontrak pemain itu bergantung kepada kelulusan FAM dan kami bercadang menggunakan khidmat Khalid sehingga ke penghujung musim ini, dan sambungan kontraknya akan bergantung kepada penilaian dari semasa ke semasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid memberi jaminan akan memberikan yang terbaik dalam membantu hasrat T-Team untuk berada di kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Tuesday, April 27, 2010

Syurga di bawah laut


KEPUASAN dan ketenangan minda ketika menerokai keindahan alam di bawah permukaan air sememangnya sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Melihat keunikan dan keanehan hidupan yang selama ini asing pada pandangan mata adalah faktor yang 'menarik' penyelam skuba untuk terus terjun ke dasar laut. Bukan itu sahaja, jenis dan kategori selam yang berbeza juga sering menjanjikan pengalaman dan sesuatu yang baru untuk dicuba. Bagi penyelam skuba kunci utama untuk mencapai kepuasan ketika menyelam adalah eksplorasi. Selepas puas meneroka keindahan di satu-satu lokasi, mereka akan beralih ke lokasi seterusnya. Kali ini WOW! berkongsi lokasi-lokasi selam skuba terbaik di seluruh dunia untuk dimasukkan ke dalam senarai destinasi wajib dikunjungi penyelam. 

Sipadan dan Layang-Layang, Malaysia
MALAYSIA tidak pernah ketinggalan dalam aktiviti selam skuba. Perairan beriklim tropika menjadikan negara ini antara destinasi kegemaran penyelam dari seluruh dunia. Selain keindahan pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Tioman, Malaysia mempunyai beberapa lokasi selam yang eksklusif yang bertaraf dunia. Pulau Sipadan di Sabah yang pernah tergolong antara pulau tercantik di dunia masih lagi kekal sebagai permata dalam dunia selam skuba. Pulau kecil itu kaya dengan pelbagai spesies jerung, ikan lumba-lumba, alu-alu, penyu dan pari. Sipadan terkenal dengan keindahan terumbu karang dan hidupan macro (halus) yang memenuhi 'galeri dinding' di sekeliling pulau berbentuk cendawan itu. Antara lokasi kegemaran penyelam di Laut Celebes itu adalah Barracuda Point dan South Point. Bagi penyelam tempatan, selam skuba sememangnya tidak lengkap selagi tidak menjejakkan kaki ke khazanah tidak ternilai ini. Selain Sipadan, Sabah juga mempunyai beberapa lagi lokasi selam yang dianggap setanding seperti Pulau Layang-Layang, Mabul dan Kapalai.

Tonton TV secara 3D


SELEPAS perluasan aplikasi untuk layar panel rata plasma, LCD dan juga LED, pengguna kini bakal menikmati pengalaman tontonan televisyen lebih menakjubkan menerusi format tiga dimensi (3D) secara total. Transformasi moden pada produk elektronik tersebut menawarkan keunggulan teknologi pengimejan premium dan luar biasa untuk memberi lebih kepuasan tontonan. Melaluinya, penonton akan dibawa menyelusuri dunia paparan televisyen seolah-oleh bernyawa dengan sokongan kualiti serta ruang timbul yang lebih jelas dan nyata. Itu yang ditawarkan oleh syarikat peneraju produk media digital, Samsung Electronics ketika memperkenalkan rangkaian televisyen LED 3D berdefinisi tinggi (HD) penuh baru-baru ini. Pengenalan televisyen LED 3D pertama di dunia ini, Samsung turut menampilkan model LCD 3D, Plasma 3D, pemain Blu-ray dan sistem teater rumah yang turut disokong fungsi 3D. Model yang dimaksudkan adalah LED 8000, LED 7000, LED 6000, LCD 750 dan PDP 7000 selain LED 9000 yang akan memasuki pasaran menjelang Julai ini. Rangkaian televisyen tersebut didatangkan bersama pemproses berenjin HyperReal 3D binaan dalam bagi menyokong paparan spektrum warna penuh di samping tawaran kejelasan ruang yang sempurna.

Melihat kepada rekaan luarnya pula, ia mempunyai ketebalan hanya 23.9 milimeter (mm) sesuai untuk penjimatan ruang serta dilengkapi kemasan bingkai berwarna perak menawan. Untuk membolehkan penonton menikmati paparan 3D dengan lebih selesa, mereka akan dilengkapkan dengan kaca mata khas yang direka menggunakan cecair kristal.

Dengan berat hanya 30 gram, kaca mata itu didatangkan dalam dua model iaitu yang menggunakan kuasa bateri atau boleh dicas semula melalui sambungan USB. Menariknya, ia dilengkapi teknologi pertukaran isyarat dua dimensi (2D) kepada 3D secara automatik pada masa nyata. Kelebihan itu akan membolehkan penonton dapat melaksanakan aktiviti menonton program televisyen, video, foto serta permainan video secara 3D. Bagi fungsi Internet pula, model-model televisyen berkenaan turut disempurnakan bersama sambungan HDMI, Ethernet 1.4 serta sokongan wayarles. Setiap model televisyen LED akan didatangkan bersama alat kawalan jauh dengan sentuhan intuitif mudah untuk kawalan menu dan format paparan. Kesemua model kini boleh diperolehi di pasaran dalam lingkungan harga RM9,999 hingga RM19,999 bergantung kepada saiz. Untuk model LED 7000, ia ditawarkan dalam pilihan saiz 40 inci, 46 inci dan 55 inci sementra LED 8000 mempunyai saiz 46 inci, 55 inci dan 65 inci. Bagi kaca mata 3D tambahan pula, ia dijual secara berasingan pada harga RM899 untuk yang menggunakan USB dan RM599 bagi kuasa bateri. Maklumat dan spesifikasi lengkap boleh diperolehi daripada laman web www.samsung.com.

Monday, April 26, 2010

Festival Gamelan Sedunia di Terengganu Julai


LIMA belas kumpulan gamelan akan mengambil bahagian dalam Festival Gamelan Sedunia 2010 anjuran kerajaan negeri Terengganu di sini, Julai ini. Festival itu akan menjadi medan untuk mengetengahkan muzik tradisional itu ke peringkat antarabangsa. Daripada situ muzik gamelan dari seluruh dunia terutama dari wilayah Nusantara boleh diangkat dan martabatkan supaya setanding dengan muzik-muzik etnik dunia yang lain. Penolong Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Noor Ismail berkata kepada Bernama, kumpulan-kumpulan itu termasuk dari Indonesia, Jepun, Eropah dan peserta tempatan. Beliau berkata, kerajaan negeri berharap festival itu akan menjadi medan pertemuan antara kumpulan-kumpulan gamelan dari seluruh dunia untuk mengenali antara satu sama lain, katanya. Katanya, ia juga bertujuan mengangkat kumpulan gamelan tempatan ke pentas antarabangsa setanding dengan kumpulan gamelan antarabangsa.
Mohd. Noor berkata, sempena festival itu juga akan diadakan bengkel alat muzik gamelan Jawa, Melayu dan Bali kepada pemuzik-pemuzik gamelan. Beliau berkata, festival itu akan berlangsung di Dataran Syahbandar, dan ini merupakan tahun kedua ia diadakan oleh kerajaan negeri. Mohd. Noor berkata, festival tahun lepas telah disaksikan lebih 5,000 peminat gamelan di negeri ini. - Bernama

Gendang Nusantara gegar Melaka



MELAKA yang terkenal sebagai destinasi pelancongan utama negara ini sememang kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi. Dalam usaha menyemarakkan lagi elemen tradisi itu telah dianjurkan Pesta Gendang Nusantara Ke-13 sempena dengan ulang tahun ketujuh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Pesta itu selari dengan aspirasi 1Malaysia yang dianjurkan kerajaan kerana elemen gendang sememangnya tidak dapat dipisahkan oleh rakyat negara ini. Tidak kira apa juga kaum, gendang merupakan perlatan penting dalam persembahan muzik mereka. Sebab itu ia menjadi ciri utama dalam seni muzik tradisi di negara ini. Penganjuran pesta seperti ini akan mengukuhkan warisan tradisi itu supaya ia terus dinikmati oleh generasi akan datang.Persembahan itu menampilkan 28 pasukan dari dalam dan luar negara dengan tema 'Serentak Seirama Senada Sebudaya'.  

Pesta gendang itu diadakan dalam suasana penuh warna-warni sambil diiringi pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian dari kumpulan-kumpulan kebudayaan dalam dan luar negara. Secara keseluruhan sebanyak 1,300 peserta terlibat daripada 28 kumpulan kebudayaan termasuk dari empat dari luar negara iaitu China, Singapura, Uzbekistan dan Sri Lanka. Acara itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi rock tersohor, Ramli Sarip yang menyampaikan empat buah lagu. Berbanding penganjuran pesta sama yang cuma diadakan sehari tahun lalu, Pesta Gendang Nusantara Ke-13 diadakan selama dua hari memandangkan pertambahan penyertaan. Tahun lalu cuma 26 pasukan mengambil bahagian melibatkan penyertaan 800 peserta berbanding 1,300 orang daripada 28 pasukan tahun ini. Pesta itu telah ditutup oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.